Monday, January 14, 2013

UNIKNYA AL QURAN

BAGAIMANA MENAFSIRKAN AL QURAN MENGIKUT METODE ILAHI :

TAFSIR BIL QURAN

Saturday, January 9, 2010

Quran Hanya Dikaji Dengan Metod “Quran bil-Quran”

Oleh: Khalid Yong, khalidyong@gmail.com http://kajian-quran.blogspot.com/


 

Pendahuluan
Alhamdulillah, bersyukur kita dapat bertemu lagi.

Sebelum kita masuk ke topik yang lebih menarik dan mencabar, bagaimana Al-Quran menjelaskan ilmu-ilmu yang hebat dan canggih seperti teori CEMI, quantum mekanik, sistem pendidikan “Intelligence vs Consciousness” dan nano-teknologi, deduktif/induktif, otak, neuron, fosfolipid, elektron, foton, termodinamik, dan sebagainya, baik kita faham dahulu beberapa asas penting dalam cabang baru ilmu ini iaitu “Al-Quran dan ICT”.

“Al-Quran dan ICT” menggunakan metod tafsir “Al-Quran bil-Quran” dan konsep baru Muhkam/Mutashabih. Dua konsep ini adalah penting, dan mesti difahami dengan baik. Kedua-dua konsep ini mestilah difahami dari perspektif baru, dan bukannya apa yang terdapat dalam kebanyakan kitab ulumul Quran.

Mahirkan "Al-Quran bil-Quran" dan Konsep Muhkam/MutashabihInsyaallah, apabila anda mahir dengan teknik menafsir ayat-ayat Quran dari perspektif ICT, anda akan nampak Al-Quran seperti satu lautan ilmu, anda akan dapat merasakan betapa luasnya ilmu dalam Al-Quran, dan anda mula merasakan kebenaran “Al-Quran menjelaskan segala-galanya”.

Juga hendaklah diingat dan difahami, metod “Al-Quran dan ICT” ini hanya boleh digunakan dalam mengkaji ayat-ayat Al-Quran untuk menjelaskan pelbagai fenomena yang berlaku, dan untuk menjana ilmu pengetahuan dari kitab suci Al-Quran. Metod ini tidak boleh digunakan untuk mengeluarkan makna atau kefahaman lain yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam yang ada sekarang.

Bidang "Al-Quran dan ICT" Maseh BaruMetod ini hanya baru berusia kira-kira dua tahun, dan ianya menggunakan pakai metod yang sudah diakui oleh para alim ulama muktabar, seperti metod tafsir “Al-Quran bil-Quran”, dan konsep Muhkam/Mutashabih seperti yang ditunjukkan oleh Saidina Ali ra. Saya tidak pasti samada Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengeluarkan fatwa sebab semua formula yang diambil adalah dari dalam Al-Quran, dan yang telah dibuat oleh pakar-pakar Al-Quran yang hebat-hebat sebelum ini.

Kerja-kerja saya ini bukannya dibuat secara berselindung, secara bersendiri, secara senyap-senyap, bahkan telah berbincang dengan para alim ulama, mufti, ahli majlis fatwa, dan dibentangkan dipelbagai konferans Islam anjuran IPTA seperti UIA, UKM, UM, dan USIM. Bahkan telah dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri, JAKIM, IKIM, YADIM, IPTA (fakulti pengajian Islam), Institut Islam Hadhari, semua Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan pada bulan Mac & April 2008 untuk perbincangan dan kelulusan dikeluarkan sebagai buku.



“Al-Quran bil-Quran” dan Muhkam/Mutashabih
Metod tafsir “Al-Quran bil-Quran” sangat berkait rapat dengan konsep Muhkam/Mutashabih seperti “kuku dengan isi”. Ianya tidak dapat dipisahkan. Kepada mereka yang belajar ilmu tafsir Quran mungkin berkerut dahi, merasa pelik dan hairan sebab tidak pernah ada kitab Ulumul Quran atau mana-mana pensyarah yang mengaitkan tafsir “Al-Quran bil Quran” dengan konsep Muhkam/Mutashabih.

Kebanyakkannya memisahkan kedua-dua topik ini secara bebas, secara berasingan, secara exclusive, seolah-olah tidak ada perkaitan atau pertalian langsung antara keduanya. Tafsir “Al-Quran bil-Quran” selalunya menjadi sub-topik kepada kaedah Tafsir Bil-Ma’thur, sementara topik Muhkam/Mutashabih ada topiknya yang tersendiri. Kedua-duanya dibincang secara berasingan, secara bebas, tidak disepadukan seolah-olah tidak ada perkaitan langsung.

Kenapa Hanya Metod “Al-Quran bil-Quran”
Al-Quran bukanlah sebuah buku biasa seperti kitab Hadith, buku feqah, atau buku ilmu alam yang mengandungi berpuluh-puluh jilid, dan disusun dengan mengikut turutan bab tertentu. Al-Quran adalah Kalam Allah, perkataan Allah yang tidak diubah-usai baik oleh Malaikat maupun oleh Nabi Muhammad SAW. Ianya adalah sebuah kitab yang kemas, rapi, dan “dimampatkan” semampat-mampatnya (highly compressed). Ianya mempunyai susunan dan turutan yang amat teratur dan sistematik, tetapi tidak ada sorang manusia atau jin yang mengetahui rahsia cara penyusunannya yang sebenar.

Tiada siapa yang tahu rahsia mampatan ini, melainkan Allah SWT sahaja. Mungkin juga Allah SWT mampatkan Quran dengan menggunakan “kunci-kunci ghaib”, kunci ini mesti dicari terlebih dahulu sebelum manusia dapat memahami dan mengkaji ayat-ayat Quran. Dan manusia amat beruntung sebab “kunci-kunci ghaib” ini juga terkandung di dalam Quran (6:59). Ini adalah satu rahmah dan kurniaan Allah kepada manusia, iaitu untuk SWT amat pemurah, maka dijelaskan kepada manusia bagaimana untuk menggunakan atau mengkaji ayat-ayat Al-Quran.

ContohSebagai contoh, sekiranya saya mereka-cipta dan membina sebuah kenderaan, kita namakan “Super-mover”, kenderaan serba-guna dan serba boleh, yang boleh bergerak di darat, dalam air, dalam tanah, dalam api, di udara, di bulan, di angkasa dan di mana-mana, dan boleh dijadikan segala macam benda misalnya sebagai bas, kereta F1, keretapi, kereta kebal, jet supersonik, kapal selam, dan sebagainya. Dan saya kemudian membuat sebuah “buku panduan lengkap” yang hanya terkandung di dalam 10 helai kertas sahaja (padahal sepatutnya ada 100 jilid setebal 1000 m/s setiap satu).

Oleh kerana segala-galanya mesti diringkaskan dan dimampatkan ke dalam 10-helai kertas sahaja, maka saya tidak boleh menggunakan format penulisan biasa, seperti menulis dari satu bab ke satu bab yang lain (sebab bab “pengenalan” sahaja pun dah memerlukan sekurang-kurangnya 10 helai). Oleh itu salah satu cara ialah dengan menggunakan metod mampatan tulisan (mengecilkan tulisan) seperti menggunakan tulisan teramat halus “font no. 1 dalam m/s word” misalnya, di mana dalam satu helai saya boleh masukkan kandungan 10 jilid manual. Oleh kerana tulisan terlampau halus, saya tidak dapat membaca dengan mata kasar dan memerlukan kanta pembesar untuk membacanya!

Metod ke dua ialah seperti metod video compression, iaitu saya tidak perlu menghantar gambar yang sudah ada di dalam memori komputer, iaitu saya tidak perlu mengulangi perkataan atau konsep yang sudah saya tulis. Apabila saya perlu merujuk kepada "bab" yang saya sudah tulis saya hanya menggunakan kod atau kekunci.

Metod ketiga ialah dengan menggunakan simbol-simbol dimana setiap simbol mewakili 10,000-20,000 perkataan. Maka dengan menggunakan 3,000 simbol sahaja saya dapat jelaskan 100 jilid manual dalam hanya 10 helai kertas. Atau metod lain?

Metod yang mana satu digunakan oleh Al-Quran? Metod pertama (mampatan tulisan) sudah pastilah tidak, sebab tulisan Al-Quran sama dan standard saiznya. Oleh itu marilah kita sama-sama fikirkan.

Bagaimana Quran Mampatkan Ilmu?Sebelum kita mengkaji dan menjawab metod mampatan yang digunakan Al-Quran, marilah kita melihat sedikit “clue” terlebih dahulu, mudah-mudahan ada di antara kita yang ada idea bernas dan dapat menjawab soalan cepumas ini.

Pada siri lepas kita mengkaji “konsep baru Muhkam/Mutashabih”, dan pada siri kali ini kita akan cuba memahami serba sedikit apa yang dimaksudkan metod tafsir “Quran bil-Quran”.

Cara "Quran bil-Quran" yang kita gunakan adalah sama dengan apa yang ada di dalam kebanyakkan kitab ulumul Quran. Yang berbeza hanyalah skop Quran bil-Quran yang lebih luas (meliputi manual, makna perkataan, makna konsep, index, cross-reference, dsbnya), dan kaedah penggunaan ke atas "makna muhkam".

DalilSebagaimana biasa sekali lagi ingin saya ingatkan, kita sekarang mengkaji ayat-ayat Quran dari perspektif ICT. Ini adalah perspektif baru, dan belum pernah diterokai sebelum ini. Tujuan “Al-Quran dan ICT” ini ialah untuk membuktikan Al-Quran menjelaskan segala-galanya; menjelaskan konsep, ilmu dan teknologi hebat yang membolehkan umat Islam menjadi ummat khaira ummatin, kembali menjadi khalifah dunia, dan menegakkan agama Allah. Saya dan metod saya ini tidak mengkritik atau membandingkan jenis-jenis tafsir lain.

Ayat-ayat Quran, mengikut perspektif ICT, hanya boleh ditafsir dengan metod “Quran bil-Quran”. Dalil dan nas dalam Al-Quran agak banyak, tetapi di bawah ini kita bawakan beberapa sahaja sebagai panduan. Kita lihat kecanggihan dan kecantikan Al-Quran menjelaskan secara “top-down”.

Kitab Quran Menjelaskan Segalanya
Pada ayat 16:89 Allah memberitahu bahawa Al-Quran menjelaskan segalanya-galanya. Ini bermakna Allah memberitahu manusia bahawa kitab Quran adalah kitab yang luar biasa, bukan sahaja menjelaskan hal-hal agama bahkan juga menjelaskan semua perkara termasuklah cara-cara bagaimana untuk memahami dan mengkaji Al-Quran, cara mencari makna, cara membuat manual, SOP, index, kekunci, cross-reference, dan sebagainya. Ayat 16:89 ini memberi gambaran keseluruhan Al-Quran, atau “helicopter view”, iaitu Allah telah menjelaskan segala sesuatu (kepada manusia dan jin) dengan menggunakan kitab Al-Quran.

Ini menunjukkan manusia tidak boleh menggunakan cara lain, sesuka hati mereka sendiri untuk menafsir ayat-ayat Al-Quran. Tetapi mesti menggunakan metod yang telah diberikan di dalam Al-Quran.

Ayat Quran Brpandukan kepada Ayat Lain
Pada ayat 11:1 Allah SWT mengatakan kesemua ayat-ayat Quran adalah ayat Muhkamat, iaitu ayat-ayat yang disusun rapi, dikuatkan atau dikukuhkan apa yang kita panggil mengandungi “makna muhkam” atau “ibu makna”, dan kesemua ayat-ayat ini telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah sendiri dengan menggunakan perkataan dan cara Allah sendiri (min ladun hakimin khabir). Oleh kerana tidak ada lagi nabi atau rasul selepas Nabi Muhammad SAW (untuk menerima wahyu dan menjelaskan ayat-ayat Quran), maka setiap ayat Al-Quran (sekiranya tidak jelas) mestilah disemak dan difahami berpandukan ayat-ayat lain di dalam Al-Quran.

Sekiranya “makna muhkam” tidak dibuat berdasarkan ayat-ayat Quran (mengambil makna mengikut kahendak ayat-ayat Al-Quran yang lain), maka (dari perspektif ICT), seluruh Al-Quran akan lari “alignment”, akan jadi senget, tidak lagi “congruent”, akan kehilangan punca, dan menjadi tidak tepat.

Tidak Boleh Guna Sumber Lain untuk "Makna Muhkam"
Pada ayat 6:115-116. Allah SWT mengatakan ayat-ayat Al-Quran sudah lengkap dan sempurna, dan jangan guna sumber-sumber lain sekalipun sumber-sumber lain itu berbentuk “dzon” yang mempunyai bukti yang kukuh dan keyakinan yang padu dan diterima-pakai oleh semua orang atau majoriti. Yang kita maksudkan di sini ialah “makna muhkam”, bukannya “makna mutashabih” (sebab makna mutashabih boleh mengguna-pakai fakta yang kukuh berdasarkan ilmu pengetahuan yang tinggi dan akal yang sempurna).

Begitu juga pada ayat 10:36-37, Allah ulang lagi sekali mengatakan Al-Quran itu dari Allah dan kitab yang memperincikan segala-galanya. Lagi sekali Allah tidak membenarkan manusia mengambil sumber lain selain dari Al-Quran sekalipun ianya adalah fakta betul dan diterima majoriti.

Contoh 1: Konsep Amalan SolehanContoh ini mungkin agak sensitif, tetapi saya terpaksa keluarkan juga demi untuk kebaikkan agama dan umat Islam yang kita cintai ini.

Mengikut kajian saya konsep “amalan solehan” yang difahami oleh umat Islam pada hari ini tidak selari dengan kahendak “makna muhkam” Al-Quran. Ini menyebabkan konsep ini tidak berfungsi sama sekali kepada umat Islam, berbanding dengan konsep “continuous improvement” yang dipegang oleh orang-orang Amerika, dan konsep “Kaizen” yang dipegang oleh orang-orang Jepun yang telah berjaya menjadi mereka sebagai umat khaira ummatin. Malah umat Islam tidak mahu membezakan dan tidak peduli untuk mengambil berat tentang kedua-dua konsep yang hebat ini.

Hanya Orang Soleh Boleh Memerintah Dunia
Pada ayat 24:55 Allah SWT telah berjanji kepada orang-orang beriman (berfikir secara deduktif) dan orang-orang yang “beramal soleh” (continuous improvement) akan pasti diberikuasa untuk menjadi khalifah dan menegakkan agama Islam. Amal soleh disini ialah penambah-baikan (improvement) bukannya amal kebajikan (charity work)! Amal kebajikan adalah kerja orang “taqwa”.

Untuk meringkaskan cerita, Al-Quran menggunakan sebanyak 180x perkataan berasaskan soleh, dan apabila dikaji makna dan konsep “amalan solehan” berdasarkan ayat-ayat Quran yang lain, berdasarkan “Quran bil-Quran”, maka konsep “amalan solehan” yang ada dalam Al-Quran adalah konsep "penambah-baikkan" atau "penambah-baikkan sepanjang hayat" hampir sama dengan konsep “continuous improvement” atau “Kaizen” yang diamalkan Amerika dan Jepun. Ianya bukan konsep "amal kebajikan" seperti yang difahami ramai.

Maka kita lihat hukum Allah yang dinyatakan pada ayat 24:55 (seperti dijelaskan di paragraf atas), benar-benar berlaku di mana Amerika dan Jepun, yang mengamalkan “amalan solehan” telah diberi kuasa untuk memerintah dunia.

"Amalan Solehan" Bukan Budaya Orang Melayu
Malang sekali, kebanyakkan umat Islam tidak menghayati dan tidak mengamalkan konsep yang amat hebat ini. Sudah tentu kita tidak boleh salahkan sesiapa sebab konsep “amalan solehan” atau “amalan penambah-baikkan” hampir tidak berlaku dalam masyarakat Melayu. Maafkan saya sekiranya tercelupar, orang Melayu tidak suka "direct competition", tidak suka face to face, dan budaya surat layang hanya berlaku dalam masyarakat Melayu. Benarkah orang Melayu ada sifat "culture duality"; satu sifat ketika dalam keadaan cerah, dan satu lagi sifat ketika gelap. Maafkan saya kalau melampau, saya ibaratkan kebanyakan orang Melayu adalah seperti harimau di dalam zoo.

Tetapi apapun sifat manusia, Allah SWT telah berjanji sesiapa yang beramal soleh, beramal penambah-baikan, beramal kaize, mereka akan berjaya.

Persepsi: Mencorak Cara Manusia Berfikir dan Bertindak
Saya mengkaji konsep “amalan solehan” dengan agak mendalam sebab ianya ada pertalian rapat dengan teori CEMI, “Intelligence dan Consciousness”, “free will” atau Qada’ dan Qadar, cara manusia berfikir dan bertindak (tingkah laku manusia). Ia adalah kunci utama untuk melahirkan umat “Khaira Ummatin”.

Allah berkata sekiranya ingin menukar sesuatu kaum maka mesti tukar apa yang ada dalam diri mereka, mesti menukar cara mereka berfikir, iaitu menukar persepsi mereka. Perkara ini diakui sendiri oleh pakar pemikir Melayu, Prof. Diraja Ungku Aziz. Beliau berkata sekiranya orang Melayu hendak maju, maka perkara pertama yang perlu dibuat ialah menukar persepsi mereka, menukar cara mereka befikir.

Merubah Orang MelayuBaru-baru ini saya menonton Forum Perdana yang bertajuk “Nafsu Besar, Jiwa Kecil”, semua ahli panel hebat-hebat belaka, sampai termenangis kita bila melihat Dato’ fadzilah Kamsah menangis, namun yang paling hebat dan menyentuh perasaan ialah apabila Dato’ Kamilia bertanya soalan yang amat relevan “So, (selepas kita bercakap berdegar-degar ni) Bagaimana hendak merubah orang Melayu? Apa cara? Apa formulanya?”

Saya fikir semua orang tahu formula bagaimana merubah orang Melayu, tetapi kita tidak serius. Saya petik sedikit wawancara antara Mingguan Malaysia dengan Prof. Diraja Ungku Aziz (kira-kira 10 tahun yang lalu):

“Prof. Ungku Aziz: Orang muda hari ini mencipta dunia fantasi; mereka gembira duduk dalam kepompong fantasi itu. Mereka terbuai dengan segala yang indah tetapi akhirnya jadi malas, hanya hendak berseronok-seronok dan tidak agresif mahukan kejayaan.

Kenapa orang Melayu tidak boleh jadi seperti itu? Kita perlu mengubah orang Melayu daripada tidak kiasu kepada lebih kiasu seperti orang Cina.

MM: Apakah orang Melayu tidak boleh jadi seperti orang Cina?

Prof. Ungku Aziz: Boleh, kenapa tidak boleh? Kelemahan kita ialah kita tidak tahu bagaimana hendak mengubah minda mereka. Saya menghabiskan masa bertahun-tahun memikirkan tentang hal ini. Lagi saya baca buku Pendeta Za'ba, lagi saya yakin bahawa semua ini bergantung kepada persepsi orang Melayu - bagaimana mereka melihat diri sendiri, masyarakat malah Allah.

Orang Melayu ada persepsi bahawa mereka boleh mengupah orang lain berdoa untuk mereka. Pendeta Za'ba mengatakan bahawa persepsi itu salah. Beliau mengatakan bahawa kita sendiri yang harus beramal. Malah beliau dengan tegas dan berani mengatakan juga bahawa Allah tidak akan mendengar. Rasulullah juga tidak suka kepada orang yang tidak berusaha tetapi lebih gemar meminta-minta.

Dalam hendak membetulkan persepsi itu, kita harus kembali kepada Allah dan dari situ kita melihat masalah-masalah yang kita hadapi, baik dalam pendidikan, keusahawanan dan sebagainya.”

Betul ke Kita Serius? (Atau setakat menunding jari saje?)Pada pendapat saya, sekira Kerajaan, JAKIM dan Dato’ Kamilia Ibrahim memang betul-betul ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk merubah orang-orang Melayu maka jawapannya sudah ada di dalam Al-Quran, dan sudah diperkatakan oleh banyak pakar pemikir, dan perkara ini disedari sudah lama, sudah berpuluh tahun.

Pihak berwajib (atau IPTA/S) boleh menubuhkan pasukan untuk mengkaji konsep “amalan solehan” (dan juga konsep “taqwa”) seperti yang dikahendaki dalam Quran. Kehadiran saya tidak penting, sebab hampir kesemua perkara pokok telah saya jelaskan. Lagi pun saya bukanlah alim ulama, saya tidak berkecil hati kalau tidak dipanggil.

Cubalah kaji dan selidik makna dan konsep sebenar “amalan solehan”, sekiranya kajian saya ini betul, Alhamdulillah, semua kita terlepas dari dosa sebab meremehkan hukum Allah, dan sekiranya saya salah, saya bertaubat dan minta ampun kepada Allah SWT dan semua yang terlibat.

Islamisasikan Ilmu?Saya bukannya cuba untuk mereka-reka cerita, cuba menampakkan Al-Quran itu “terkini” dengan “mengislimasikan ilmu”. Saya tahu ramai yang berpegang kepada konsep mengislamisasikan ilmu, tetapi mana hasilnya setelah lebih 30 tahun? Kenapa umat Islam semakin mundur, semakin bercelaru, betul ke kaedah "cut, paste, & touch-up" ini selari dengan kahendak Al-Quran, keadah Islam?

Insyaalah bila kita mengkaji teori CEMI dan "Intelligence and Consciousness", kita akan faham kenapa Allah SWT tidak membenarkan pengislaman Ilmu.

Al-Quran telah diturunkan 1,400 tahun yang lampau, dan terdapat 180x perkataan soleh dalam Al-Quran. Sesiapa saja yang ada kitab Al-Quran boleh mengkajinya, tidak perlu tahu pun tentang Kaizen atau continuous improvement.

Sekiranya kajian dan penemuan saya ini benar, maka wajib kita membetulkan pemahaman konsep amalan solehan ini sebab ianya adalah asas kepada jatidiri dan identiti umat Islam. Ia akan merubah persepsi dan cara orang Malayu berfikir. Umat Islam tidak boleh berkata “Saya bercita-cita untuk menjadi orang soleh”, sebab perbuatan soleh (penambah-baikkan) adalah kewajipan setiap umat Islam, seolah-olah sama seperti menunaikan solat. Setiap umat Islam wajib menjadikan diri mereka (dan alam sekeliling) bertambah baik, bertambah elok, dan bertambah sempurna. Amalan solehan (continuous improvement) adalah KPI bukannya “visi”. Melakukan "pekerjaan penambah-baikkan" adalah wajib bukannya pilihan.

“Orang Soleh” Vs “Orang Taqwa”
Konsep Muttaqin atau “orang-orang bertaqwa” ada dijelaskan kira-kira 180x dalam Al-Quran, hampir sama banyak dengan konsep “Amalan Solehan” juga kira-kira 180x. Perkataan “soleh” bermakna orang yang melakukan pembaikkan atau penambah-baikkan. Sementara perkataan muttaqin (orang bertaqwa) ini ialah orang-orang yang patuh, tunduk dan berlindung kepada suruhan. Budaya taqwa memang ada dalam budaya Melayu sejak berzaman.

Al-Quran membuat perbandingan dan perbezaan jelas antara “konsep soleh” dan “konsep taqwa”. Malang sekali kebanyakkan umat Islam tidak dapat membuat perbezaan, dan mengagapnya perkara trivial, perkara kecil, remeh-temeh.

Perbezaan SyurgaSemua orang soleh dan orang bertaqwa akan masuk syurga, tetapi mereka diberi syurga yang berlainan. Allah SWT memberi orang-orang soleh syurga yang tertinggi darjatnya (Al-Kahf 18:107, Taha 20:75), berbanding dengan orang-orang bertaqwa yang hanya diberi syurga biasa, syurga yang bertingkat-tingkat (39:20). Orang-orang soleh akan dapat berjumpa dengan Allah secara perseorangan (18:110), tetapi orang-orang takwa hanya disuruh masuk syurga secara pukal, secara berkumpulan, secara beramai-ramai (19:85, 39:73, dsb).

Kuasa Memerintah Untuk Orang Soleh SahajaOrang soleh diberi kekuatan, diberi kuasa untuk membela dan mempertahankan diri sendiri (26:227), diberi kekuasaan dan kebolehan menjadi khalifah dan menegakkan agama Allah (24:55). Tetapi orang-orang bertaqwa selalunya dipandang rendah oleh manusia (2:212), dikira orang-orang yang lemah, dan orang yang sentiasa mendapat perlindungan Allah (3:125, 27:53, 39:61, dsb).

Tujuan saya membuat perbandingan antara “soleh” dan “taqwa” ini bukannya untuk melaga-lagakan kedua golongan ini, tetapi hanya ingin menunjuk contoh betapa pentingnya kita memerhati dan mengkaji setiap konsep dan makna muhkam yang terkandung dalam Quran. Mengkaji dan membuat pemerhatian adalah suruhan Allah, agar kita menjadi orang yang teliti dan dapat melakukan penambah-baikkan. Lagipun Allah berkata tidak ada perkara yang sia-sia (batil) dalam Quran, maka wajib kita yakini konsep “soleh” dan konsep “taqwa” itu bukanlah sama, bukanlah redundant dan bukan sia-sia.

Melakukan Pekerjaan Penambah-baikkan Adalah WajidMaka berpandukan kepada ayat 46:15, 41:33, dan 24:55, adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap individu yang mengaku dirinya orang Islam untuk melakukan pekerjaan penambah-baikkan (improvement).

Bagaimana Melakukan Amalan Solehan?Pada ayat 7:42 Allah SWT menjelaskan Dia tidak menetapkan sesuatu pekerjaan atau amalan yang khusus sebagai “amalan solehan”, melainkan yang termampu (illa wus’aha). Allah SWT memberi manusia akal fikiran, dan kebebasan untuk memilih pekerjaan penambah-baikkan yang sesuai bagi diri, keadaan dan suasana masing-masing seperti menambah-baik penggunaan masa, menambah-baik tali-perhubungan, menambah-baik pekerjaan di pejabat, menambah-baik amal-ibadah, dan sebagainya. Yang penting setiap hari, mesti ada dilakukan pekerjaan penambah-baikkan.

Contoh Amalan solehanSebagaimana ayat 7:42, Allah SWT tidak memberatkan umat Islam, apa-apa saja pekerjaan yang boleh mengelokkan atau menambah-baik diri sendiri dan keadaan sekeliling adalah merupakan pekerajaan soleh, adalah "amalan solehan" (continuous improvement). Misalnya menambah-baik penggunaan waktu (103:1-3). Kita boleh kurangkan waktu bersembang2 kosong, waktu berSMS, berchatting, melayari laman yang tidak berguna di Internet, waktu tidor, dan menggantikan masa tersebut dengan “amalan solehan” (pekerjaan pembaikkan) seperti berzikir, membaca Quran, mengemas atau menyusun meja pejabat kita, menyusun fail2 atau arkaiv direktori komputer, membuang fail2 yang tidak berguna, menulis lapuran kerja, dan sebagainya.

Ayat 21:90 Penambah-baikkan Canggih
Atau seperti yang dituntut pada ayat 21:90, kita boleh membuat kajian dan menjana ilmu pengatahuan yang canggih dan hebat seperti bagaimana untuk menyelesaikan masalah disiplin pelajar, masalah keruntuhan akhlak, membuat kajian, menjana ilmu dan teknologi baru, seperti mencipta ubat atau alat yang membolehkan ibu mandul untuk mampu hamil, atau memikirkan bagaimana menukar sistem TDMA yang merbahaya kepada yang lebih mesra alam, bagaimana menjana tenaga baru, dan sebagainya.

Malah terlalu banyak “amalan pembaikkan atau penambah-baikkan” (continuous improvement) yang boleh difikirkan dan dilakukan setiap hari.


Penutup
Mengikut perspektif ICT, ayat-ayat Al-Quran hanya boleh dikaji dengan menggunakan metod "Al-Quran bil-Quran" dan konsep baru Muhkam/Mutashabih. Sekiranya terdapat perselisihan pendapat atau kekeliruan, maka "makna Muhkam" atau "ibu makna" mestilah dibuat berdasarkan Al-Quran bil-Quran.

Fungsi dan tujuan konsep "amalan solehan" adalah sangat besar dan penting dalam Islam sebab ianya membentuk persepsi, cara berfikir, cara bertindak, dan kelakuan umat Islam.

Pekerjaan penambah-baikkan (amalan solehan) adalah kewajipan, adalah KPI, setiap individu yang menngaku dirinya Islam. Ianya bukan satu pilihan.

Sekiranya ingin merubah kaum Melayu, Al-Quran suruh merubah apa yang ada dalam diri setiap individu Melayu, Al-Quran suruh ubah persepsi mereka, cara mereka berfikir, mereka mesti memahami konsep sebenar "amalan solehan"

 

No comments:

Post a Comment