Surah 110 : An-Nashr (Pertolongan)
Pengenalan
Surah
ini dinamakan dengan ‘An-Nashr’ (Pertolongan) berdasarkan perkataan
‘Nashr’ yang terdapat pada ayat pertama di dalam surah ini. Nama lain
bagi surah ini ialah ‘Al-Futuh’ (Kemenangan atau Pembukaan) di atas
perkataan ‘Al-Fath’ yang juga terdapat di dalam ayat pertama serta
bersempena pembukaan Mekah yang dikuasai umat Islam pada masa itu.
Surah
An-Nashr terdiri dari 3 ayat. Ia berupa surah Madaniyah, surah (bukan
ayat) yang terakhir diturunkan di zaman Madinah. Ada riwayat yang
menyatakan surah ini diturunkan di Mina semasa Haji Wada’.
Mengikut satu hadits yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, surah ini menyamai satu perempat Al-Quran.
Pengertian
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
(1) Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan.
(2) Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah.
(3) Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan beristighfarlah kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.
Pengajaran
1. Allah
telah menjanjikan kemenangan kepada umat Islam yang beriman dan beramal
soleh (24:55). Kemenangan demi kemenangan telah dicapai mereka di
sepanjang zaman. Kemenangan-kemenangan itu tidak mungkin dicapai tanpa
pertolongan Allah swt.
2. Kemenangan
membuka kota Mekah merupakan kemenangan utama Rasulullah, dapat
membebaskan kota yang menjadi kiblat umat Islam itu dari
berhala-berhala. Berikutan kemenangan tersebut, kaum Arab
berbondong-bondong memeluk Islam. Dua tahun kemudian, seluruh
Semenanjung Arab dikuasai oleh umat Islam.
3. Umat Islam diajar adab sewaktu beroleh kemenangan di dalam mengembangkan Islam.
Kemenangan itu meliputi kemenangan besar seperti menguasai sesuatu
tempat, maupun kejayaan kecil seperti dakwahnya diterima oleh orang
lain. Mereka diperintahkan untuk bertasbih kepada Allah dengan
memujiNya, mengiktiraf bahawa kemenangan tersebut bukanlah kerana
kehebatan diri mereka, tetapi dengan pertolongan Allah jua. Mereka juga
diseru untuk beristighfar bagi mengakui kelemahan diri sewaktu beroleh
kejayaan tersebut. Kemenangan dikembalikan kepada Allah, sebagaimana
yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf (12:100-101) dan Nabi Sulaiman (27:40).
4. Surah
ini, sebagaimana yang ditafsirkan oleh Ibnu Abbas r.a dan dipersetujui
oleh Saidina Umar r.a., menandakan saat kewafatan Rasulullah saw telah
hampir. Tugas baginda hampir selesai lalu baginda diminta untuk
bertasbih dengan memuji Allah dan beristighfar kepadaNya.
Monday, 20 June 2011
Surah 111 : Al-Lahab (Gejolak Api)
Pengenalan
Surah
ini dinamakan dengan ‘Al-Lahab’ (Gejolak Api) berdasarkan perkataan
‘Lahab’ yang terdapat pada ayat pertama dan ketiga di dalam surah ini.
Nama lain bagi surah ini yang sering juga digunakan ialah ‘Al-Masad’,
sempena perkataan ‘Masad’ (sabut yang dipintal) yang terdapat di akhir
surah. Surah Al-Lahab terdiri dari 5 ayat. Ia berupa surah Makkiyah,
surah yang diturunkan di Mekah.
Pengertian
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
(1) Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan dia benar-benar binasa.
(2) Tidak berguna baginya hartanya dan apa-apa yang dia usahakan.
(3) Kelak dia akan memasuki api yang bergejolak (neraka).
(4) Dan isterinya, pembawa kayu api.
(5) Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal.
Pengajaran
1. Abu
Lahab merupakan satu-satunya musuh Islam di zaman Nabi Muhammad s.a.w.
yang disebutkan namanya dalam Al-Quran. Nama sebenarnya ialah Abdul Uzza
bin Abdul Muttalib, bapa saudara Rasulullah saw. Beliau bangga dengan
gelaran ‘Abu Lahab’, digelar demikian kerana wajahnya putih kemerahan.
Allah menggunakan perkataan ‘Lahab’ (gejolak api) yang sama dalam ayat
yang ketiga, menjanjikan neraka kepadanya.
2. Abu
Lahab amat memusuhi dakwah yang disampaikan baginda. Beliau mengecam
Rasulullah apabila baginda menyampaikan Islam kepada keluarga terdekat
di bukit Safa, setelah turun ayat 214 dari surah Asy-Syu’ara. Beliau
juga mengganggu usaha dakwah yang baginda sampaikan kepada masyarakat,
antaranya di pasar Zul Majaz. Abu Lahab dari kabilah Bani Hasyim, namun
beliau bersama dengan kabilah Arab yang lain dalam memulaukan kabilahnya
sendiri apabila Rasulullah enggan meninggalkan dakwah Islam.
3. Abu
Lahab merupakan lambang musuh-musuh Islam, dalam penentangan terhadap
agama ini, dan pembalasan yang mereka akan perolehi di akhirat kelak.
Pada hari itu harta dan usaha mereka tidak berguna dalam menyelamatkan
diri dari azab neraka yang bergejolak apinya.
4. Isteri
Abu Lahab, Ummu Jamil Arwa binti Harb, adik Abu Sufyan, turut sama
dalam menyekat dakwah Islam. Allah menggelarnya ‘pembawa kayu api’
sebagai penghinaan terhadap beliau. Gelaran ini juga bermaksud bahawa
beliau menyebarkan fitnah terhadap Rasulullah di kalangan masyarakat. Di
samping itu beliau dikatakan memungut kayu-kayu yang berduri dan
meletakkannya di jalan-jalan yang dilalui oleh Nabi.
5. Ummu
Jamil mempunyai seutas kalong dan loket yang besar dan mahal harganya.
Beliau berjanji untuk menggunakan keduanya bagi membiayai permusuhan
beliau dengan Rasulullah s.a.w. Dengan sebab inilah Allah s.w.t.
menyiksa isteri Abu Lahab dengan tali yang dibuat dari sabut yang dipintal yang melilit lehernya di dalam neraka nanti.
6. Gandingan
suami isteri Abu Lahab dan Ummu Jamil telah menambahkan kesesatan
sesama sendiri. Islam mengajar kita untuk memilih suami dan isteri yang
soleh dan solehah yang saling bantu membantu di dalam kebaikan. Namun
suami atau isteri yang tidak menepati ciri tersebut tidak boleh
dijadikan alasan untuk seseorang jauh daripada Allah s.w.t. Allah
mencontohkan isteri Firaun (Asiah) beriman walau berada dalam
rumahtangga Firaun (66:11). Begitu juga Allah mencontohkan isteri-isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut yang kafir walau berada di dalam rumahtangga Rasul-rasul (66:10).
Sunday, 22 May 2011
Surah 112 : Al-Ikhlas (Memurnikan Keesaan Allah)
Pengenalan
Surah
ini dinamakan dengan ‘Al-Ikhlas’, Memurnikan (Keesaan Allah)
berdasarkan tema surah yang membicarakan tentang tauhid yang tulus dan
suci terhadap Allah swt. Nama ini bukanlah diambil dari perkataan yang
terdapat di dalam surah sebagaimana kebanyakan surah lain. Selain dari
Al-Ikhlas, surah ini juga dinamakan sebagai Al-Asas, At-Tauhid dan
Al-Wilayah di samping beberapa nama lagi.
Surah Al-Ikhlas terdiri dari 4 ayat, merupakan surah Makkiyah.
Pengertian
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
(1) Katakanlah: "Dia-lah Allah Yang Maha Esa.
(2) Allah tempat meminta.
(3) (Allah) tidak beranak dan tidak diperanakkan.
(4) Dan tidak ada sesuatu yang setara denganNya.”
Pengajaran
1. Terdapat
beberapa hadits yang menyatakan bahawa surah Al-Ikhlas menyamai satu
pertiga Al-Quran. Surah ini merupakan intisari kepada salah satu dari
tiga mesej Al-Quran iaitu mentauhidkan Allah swt. Dua lagi mesej ialah
iman kepada hari akhirat dan beramal soleh (2:62).
2. Fitrah
kemanusiaan mengakui kewujudan Tuhan di sebalik alam ini (7:172). Tuhan
itu tidak lain melainkan Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Ini menolak
kepercayaan bahawa tuhan berbilang-bilang sebagaimana dalam banyak
agama. Fahaman tidak bertuhan (atheist) juga dengan sendirinya tertolak.
3. Allah
swt tidak memerlukan sesuatu apa pun dari makhluk, sebaliknya
makhluklah yang memerlukan Allah. Hakikat ini jelas apabila manusia
berada di dalam keadaan bahaya seperti di laut. Mereka hanya meminta
kepada Allah. (17:67). Manusia tidak memerlukan perantaraan dalam
meminta kepadaNya.
4. Allah
tidak mempunyai anak sebagaimana yang didakwa oleh orang Yahudi dan
Kristian. Orang Yahudi mengatakan bahawa Uzair itu anak Allah manakala
orang Kristian berpegang bahawa Nabi Isa sebagai anakNya. (9:30). Di
samping itu kaum musyrikin menyatakan malaikat-malaikat itu anak
perempuan Allah (16:57). Maha Suci Allah dari apa yang mereka
perkatakan.
5. Allah
juga tidak diperanakkan, tidak mempunyai ibu dan bapa sebagaimana
makhluk. ‘Diperanakkan’ menunjukkan sifat baru wujud, sedangkan Allah
tidak ada awal dan akhir.
6. Tidak
ada sesuatu pun yang sebanding dengan Allah dalam semua perkara, baik
di segi zat, sifat dan kekuasaanNya. Ayat terakhir ini menegaskan makna
ayat yang pertama.
Monday, 9 May 2011
Surah 113 : Al-Falaq (Waktu Subuh)
Pengenalan
Surah
ini dinamakan dengan ‘Al-Falaq’ (Waktu Subuh) berdasarkan perkataan
‘Al-Falaq’ yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Ia terdiri dari 5
ayat. Sebagaimana surah An-Naas, ada ulamak yang berpandangan bahawa
surah ini adalah surah Makkiyah, surah yang diturunkan di Mekah. Ada
juga yang berpendapat ia merupakan surah Madaniyah, diturunkan di
Madinah.
Surah
Al-Falaq adalah salah satu dari dua surah muawwizah (memohon
perlindungan). Satu lagi ialah surah An-Naas. Kedua-dua surah ini
diturunkan pada masa yang sama.
Pengertian
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
(1) Katakanlah: "Aku berlindung dengan Rabb (Yang Menguasai) waktu subuh,
(2) dari kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan,
(3) dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita,
(4) dan dari kejahatan wanita-wanita ahli sihir yang menghembus (menjampi) pada simpulan-simpulan,
(5) dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki.”
Pengajaran
1. Surah
ini mengandungi permohonan perlindungan dengan Allah, Tuhan yang
Menguasai waktu subuh, waktu kegelapan bertukar menjadi cerah. Dalam
surah Al-Falaq ini kita diajar untuk memohon perlindungan dari kejahatan
yang dilakukan oleh makhluk yang diciptaNya. Dia-lah yang menciptakan
mereka dan Dia-lah yang menguasai setiap apa yang mereka kerjakan. Tidak
ada apa-apa yang boleh berlaku melainkan dengan keizinanNya.
2. Tiga
kejahatan makhluk yang dinyatakan dalam surah ini ialah kejahatan yang
selalu berlaku di waktu malam gulita, kejahatan ahli sihir dan kejahatan
orang yang berdengki.
3. Kejahatan
manusia, binatang buas dan sebagainya banyak berlaku di waktu malam
kerana kegelapan menutupi pelakunya. Mangsa kejahatan biasanya di dalam
keadaan tidak bersedia sewaktu kejahatan berlaku.
4. Sihir
yang dilakukan oleh ahli sihir boleh membawa pelbagai mudarat kepada
manusia. Allah yang mengizinkan sihir itu berlaku juga yang boleh
menyembuhkannya. Hanya Dia yang berkuasa, bukannya penyihir walau
sehebat mana mereka sekalipun.
5. Dengki
merupakan satu penyakit hati yang tua usianya. Ia merupakan dosa yang
pertama berlaku di langit apabila Iblis berdengki dengan Nabi Adam. Ia
juga dosa yang pertama berlaku di bumi apabila Qabil membunuh Habil.
Orang yang berdengki sering berusaha untuk menjatuhkan orang yang
didengkinya dengan secara terang-terangan maupun bersembunyi seperti
sihir. Perlindungan dari Allah dipohoni dari kejahatan mereka, juga
secara tidak langsung, supaya Allah melindungi kita dari sifat dengki
ini.
6. Menurut
seorang sahabat, Abu Said Al-Khudri, sebagaimana yang diriwayatkan oleh
Imam Tarmizi, Rasulullah s.a.w. biasa berdoa dengan beberapa doa untuk
melindungi diri dari gangguan jin dan kejahatan manusia sehingga
kedua-dua surah Al-Mua’wwizatain (Al-Falaq dan An-Naas) diturunkan.
Baginda kemudian menggunakan kedua-dua surah ini dan meninggalkan
doa-doa lain.
Friday, 1 October 2010
Surah 114 : An-Naas (Manusia)
Pengenalan
Surah
ini dinamakan dengan ‘An-Naas’ (manusia) berdasarkan perkataan
‘An-Naas’ yang diulangi 5 kali di dalamnya . Ia merupakan surah yang ke
114, surah yang terakhir di dalam Al-Quran. Ia terdiri dari 6 ayat. Ada
ulamak yang berpandangan bahawa surah ini adalah surah Makkiyah, surah
yang diturunkan di Mekah. Ada juga yang berpendapat ia merupakan surah
Madaniyah, diturunkan di Madinah.
Surah
An-Naas adalah salah satu dari dua surah muawwizah (memohon
perlindungan). Satu lagi ialah surah Al-Falaq. Kedua-dua surah ini
diturunkan pada masa yang sama.
Pengertian
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
(1) Katakanlah: "Aku berlindung dengan Rabb (Pemelihara) manusia.
(2) Malik (Raja) manusia.
(3) Ilah (Sembahan) manusia.
(4) dari kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi,
(5) yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.
(6) dari (golongan) jin dan manusia.
Pengajaran
1. Surah ini mengandungi permohonan perlindungan dari Allah s.w.t. dengan
tiga sifatNya iaitu Rabb (Pemelihara), Malik (Raja) dan Ilah
(Sembahan). Perlindungan yang dipohonkan dalam surah ini ialah dari satu
kejahatan iaitu bisikan syaitan. Dalam surah Al-Falaq pula,
perlindungan dari satu sifat Allah, ‘Rabb waktu subuh’ dipohonkan.
Perlindungan yang dipohonkan ialah dari tiga kejahatan dari ciptaanNya
iaitu kejahatan malam, kejahatan wanita tukang sihir dan kejahatan
pendengki. Ini suatu tanda bahawa kejahatan yang disebutkan dalam surah
An-Naas lebih berbahaya dari kejahatan yang diminta perlindungan dalam
surah Al-Falaq kerana ia berkait dengan pembalasan di akhirat. Kejahatan
yang disebutkan dalam surah Al-Falaq adalah bahaya di dunia sahaja.
2. Perkataan
manusia (An-Naas) digandingkan dengan ketiga-tiga sifat Allah tadi
untuk menunjukkan keutamaan manusia berbanding dengan makhluk Allah yang
lain walhal Allah juga Rabb, Malik dan Ilah makhluk lain. Dalam masa
yang sama, manusialah makhluk Allah yang banyak memohon perlindungan
dariNya.
3. Kita
diajar untuk memohon perlindungan dari kejahatan bisikan syaitan,
syaitan yang terdiri dari jin dan manusia itu sendiri. Dalam hal ini,
Allah berfirman:
“Dan
demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu
syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian
mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang
indah-indah untuk menipu (manusia).” (al-An’aam, 6:112)
Godaan-godaan
yang mengajak manusia ke arah kejahatan bukan sahaja datangnya dari
syaitan yang tidak kelihatan di kalangan jin, tetapi juga di kalangan
manusia.
Saturday, 11 September 2010
Surah-surah Juz Amma
78. An-Naba' - Berita Besar - 40 ayat - Makkiyah
79. An-Naazi'aat - Malaikat-malaikat yang Mencabut - 46 ayat - Makkiyah
80. 'Abasa - Ia Bermasam Muka - 42 ayat - Makkiyah
81. At-Takwiir - Menggulung - 29 ayat - Makkiyah
82. Al-Infithaar - Terbelah - 19 ayat - Makkiyah
83. Al-Muthaffifiin - Orang-orang yang Curang - 36 ayat - Makkiyah
84. Al-Insyiqaaq - Terbelah - 25 ayat - Makkiyah
85. Al-Buruuj - Gugusan Bintang - 22 ayat - Makkiyah
86. Ath-Thaariq - Yang Datang di Malam Hari - 17 ayat - Makkiyah
87. Al-A'laa - Yang Paling Tinggi - 19 ayat - Makkiyah
88. Al-Ghaasyiyah - Hari Pembalasan - 26 ayat - Makkiyah
89. Al-Fajr - Fajar - 30 ayat - Makkiyah
90. Al-Balad - Negeri - 20 ayat - Makkiyah
91. Asy-Syams - Matahari - 15 ayat - Makkiyah
92. Al-Lail - Malam - 21 ayat - Makkiyah
93. Adh-Dhuhaa - Waktu Dhuha - 11 ayat - Makkiyah
94. Alam Nasyrah - Bukankah Kami telah Melapangkan - 8 ayat - Makkiyah
95. At-Tiin - Buah Tin - 8 ayat - Makkiyah
96. Al-'Alaq - Segumpal Darah - 19 ayat - Makkiyah
97. Al-Qadr - Kemuliaan - 5 ayat - Makkiyah
98. Al-Bayyinah - Bukti - 8 ayat - Madaniyah
99. Az-Zalzalah - Kegoncangan - 8 ayat - Madaniyah
100. Al-'Aadiyaat - Kuda Perang yang Berlari Kencang - 11 ayat - Makkiyah
101. Al-Qaari'ah - Hari Kiamat - 11 ayat - Makkiyah
102. At-Takaatsur - Bermegah-megahan - 8 ayat - Makkiyah
103. Al-'Ashr - Masa - 3 ayat - Makkiyah
104. Al-Humazah - Pengumpat - 9 ayat - Makkiyah
105. Al-Fiil - Gajah - 5 ayat - Makkiyah
106. Quraisy - Suku Quraisy - 4 ayat - Makkiyah
107. Al-Maa'uun - Barang-barang yang Berguna - 7 ayat - Makkiyah
108. Al-Kautsar - Sungai di Syurga - 3 ayat - Makkiyah
109. Al-Kaafiruun - Orang-orang Kafir - 6 ayat - Makkiyah
110. An-Nashr - Pertolongan - 3 ayat - Madaniyah
111. Al-Lahab - Gejolak Api - 5 ayat - Makkiyah
112. Al-Ikhlash - Memurnikan Keesaan Allah - 4 ayat - Makkiyah
113. Al-Falaq - Waktu Subuh - 5 ayat - Makkiyah
114. An-Naas - Manusia - 6 ayat - Makkiyah